LATAR BELAKANG TADIKA CERIA KADAZANDUSUN TIONG MONGGIS, TUARAN

Pada 14hbe Mei 2007 adalah hari yang sangat bersejarah dan bermakna kepada penduduk Kampung Tiong Monggis kerana telah dipilih oleh Food For The Hungry International Malaysia untuk membina sebuah Sekolah Kadazandusun. Pada tarikh ini lah pecah tanah dan perasmian telah diadakan. Perasmian ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Datuk Kitingan, Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) merangkap Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah. 

Pada 19hb Februari 2008, Sekolah Kadazandusun telah dibuka dan sementara menunggu bangunan Sekolah siap dibina, guru-guru telah menggunakan dewan Kampung Tiong Monggis atas persetujuan semua penduduk Kampung Tiong Monggis. Sekolah Kadazandusun ini menerima pelajar yang berumur 4 tahun hingga 6 tahun. Pada bulan februari 2009, Bangunan Sekolah telah siap dibina dan para pelajar serta guru-guru berpindah ke bangunan baru berkenaan. Bangunan baru ini mempunyai empat buah bilik iaitu dua kelas digunakan untuk pembelajaran dan pengajaran, sebuah bilik guru dan sebuah lagi bilik stor.

Pada tahun 2010, Sekolah Kadazandusun tidak lagi bernaung dalam naungan Food For The Hungry International Malaysia dan diteruskan oleh Dr. Chong Eng Leong selaku Pengusaha Sekolah Kadazandusun. Beliau banyak memberi sokongan dalam memartabatkan Bahasa Kadazandusun ini. Beliau telah membuat permohonan pendaftaran Sekolah Kadazandusun ke Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas.

Setelah mendapat kelulusan Perakuan Pendaftaran sementara Institusi Pendidikan, nama Sekolah Kadazandusun telah ditukar kepada Tadika Ceria Kadazandusun ini kerana berkenaan dengan pengambilan pelajar yang terdiri daripada pelajar yang berumur 4 tahun hingg 6 tahun. Tadika Ceria Kadazandusun ini telah diperakui dan didaftarkan di bawah Akta Pendidikan 1996.

Apabila mendapat No Pendaftaran tadika ini tidak terkecuali dengan memperolehi beberapa keistimewaan seperti guru-guru di beri kursus Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), batuan yuran PraSekolah Swasta di bawah program NKRA, dan banyak lagi kursus yang boleh disertai oleh guru-guru. Guru-guru yang berkhidmat di Tadika Ceria Kadazandusun ini mempunyai permit untuk mengajar dalam tadika ini.

Pada 1hb Januari 2015, disebabkan komitment kerja yang sangat padat, Pengusaha Tadika iaitu Dr Chong Eng Leong telah menyerahkan sepenuhnya Pengurusan Tadika Ceria Kadazandusun ini kepada Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA). Pihak KDCA telah melantik YBhg Datuk Joseph Paulus Lantip sebagai Pengerusi/Pengusaha Tadika Ceria Kadazandusun yang baru.