PBBS BERGABUNG DALAM KDCA
03 Aug 2010
BEAUFORT: Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) antara persatuan berasaskan kebudayaan yang tertua di negeri ini akhirnya menyertai sebagai Kumpulan ahli di dalam Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA). Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden KDCA, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, PBBS memohon untuk diterima sebagai group member dalam KDCA dan Perlembagaan KDCA membenarkan permohonan oleh mana-mana kumpulan etnik (Persatuan) yang tersenarai dalam 40 rumpun Kadazandusun dan kita tiada halangan menerima mereka sebagai Kumpulan Ahli. Sebelum ini, mereka yang terdiri daripada etnik Bisaya ada yang telah menjadi ahli KDCA, namun kali ini PBBS sendiri telah menjadi anggota Kumpulan dalam keluarga besar KDCA. Dalam perlembagaan KDCA, etnik Bisaya memang termasuk dalam 40 suku etnik yang tersenarai dan dalam perayaan Pesta Kaamatan bangsa Bisaya mempunyai rumah tradisi dan secara langsung terlibat dengan sambutan berkenaan di peringkat negeri yang diadakan di Hongkod Koisaan, Penampang. Katanya, ini akan memperkuatkan lagi perhubungan diantara persatuan-persatuan yang sudahpun ada kaitan dengan etnik-etnik yang tersenarai dalam Perlembagaan KDCA. Langkah ini sudah pasti akan memperkukuhkan lagi jambatan perhubungan, persefahaman serta perpaduan dan boleh dianggap sebagai langkah yang menjurus ke arah destinasi kewujudan 1Malaysia yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak. Terdahulu, Janang Gayuh Presiden PBBS, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin di dalam ucapannya menyatakan hasrat PBBS untuk bergabung di dalam KDCA untuk membentuk satu keluarga yang besar sebagai menyahut kepada saranan 1Malaysia itu. Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Adau Janang Gayuh Kali Ke-7 Tahun 2010 yang diadakan di Padang SK Lupak, dekat sini, petang kelmarin. Turut hadir Datuk Johnny Mositun, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Ahli Parlimen Kawasan Sipitang, Datuk Sapawi Haji Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Lumadan, Kamarlin Haji Ombi. Kita amat bertuah kerana Najib sendiri amat menekankan konsep 1Malaysia dan ini adalah jaminan kepada semua bangsa tanpa ada satu bangsa pun yang ketinggalan dalam arus pembangunan sekaligus mewujudkan sebuah negara yang mempunyai masa depan yang cerah dan membangun. Kita menyedari bahawa banyak keperluan, keinginan, aspirasi rakyat bahawa banyak lagi perkara yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan khususnya YAB Perdana Menteri sendiri dan perlu melipatkangandakan usaha kerana negeri Sabah dan Sarawak memerlukan perhatian khusus dari segi soal pembangunan. Oleh sebab itu, tidak ada sebab kita tidak boleh bekerjasama, dan kita di peringkat akar umbi harus bersatu padu demi untuk mengatasi segala masalah yang kita memang sedia maklum yang mana para pemimpin tidak putus-putus menyuarakan melalui pelbagai saluran demi untuk kebaikan generasi akan datang agar Kerajaan segera mengatasinya. Dalam pada itu, Kerajaan amat mengalu-alukan sebarang acara sambutan berbentuk kebudayaan yang menjurus kepada mewujudkan peningkatan ke arah perpaduan, mewujudkan perasaan muhibbah dan mengukuhkan ikatan silatuhrahim di kalangan pelbagai kaum. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM50,000 setiap tahun kepada PBBS untuk menganjurkan sambutan Adau Janang Gayuh yang mempunyai tujuan murni ini. Dalam pasa itu Pairin turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), khasnya kepada Janang Gayuh, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin, selaku Presiden PBBS di atas kepimpinan beliau dalam memastikan masyarakat Bisaya terus berada di landasan sebenar perjuangan Persatuan ini demi kepentingan masyarakat Bisaya. Adau Janang Gayuh yang disambut pada setiap tahun ini selain sebagai usaha memperingati sejarah perjuangan masyarakat Bisaya, ianya juga mempunyai peranan penting sebagai wadah penyatuan masyarakat bisaya yang bernaung di bawah persatuan ini yang kini menjangkau usia 33 tahun. Gayuh tahun ini iaitu, ?Bisaya Bersatu 1Malaysia?, pada hemat saya amatlah bersesuaian dengan usaha kerajaan khususnya mencapai perpaduan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum seiring dengan gagasan 1Malaysia yang ditekankan oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri yang kita kasihi. Saya juga berharap agar persatuan-persatuan berasaskan kaum di negeri ini dapat turut sama memainkan peranan dalam usaha memartabatkan etnik masing-masing dan menyahut cabaran 1Malaysia ke arah pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan harmoni sekaligus menjadi tunjang pembinaan kebudayaan Kebangsaan menjelang tahun 2020. Tamat. Disediakan Oleh: Francis Au Setiausaha Akhbar Kepada Timbalan Ketua Menteri / Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah H/P: 013-8988355